Blog

Masjid Penggerak Ekonomi & Pembangunan Ummah

Datuk Dr. Mohd Daud Bakar

Pendahuluan

  • Tema peranan masjid sebagai penggerak aktiviti ekonomi dan pembangunan masyarakat Islam adalah tema yang hampir lenyap dalam kamus dan senarai perbincangan ekosistem masyarakat Islam. Malah, pada pandangan setengah pihak, tema dan tajuk sebegini tidak sepatutnya diuar-uarkan bagi menjaga keutuhan dan kesucian institusi m Mana mungkin aspek perekonomian diletakkan di bawah bumbung masjid atau di pekarangan masjid. Ada pelbagai sebab dan faktor yang mendalangi pemikiran dan cara fikir tersebut.
  • Justeru, keputusan pihak penganjur Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Peringkat Wilayah Persekutuan 2019M/1440H menjadikan tajuk dan tema ini dalam skop pengimarahan masjid, di samping aktiviti ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan, adalah satu manifestasi ‘kebijaksanaan dan keberanian zaman’. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa reformasi fekah, syariah, fatwa dan seluruh kerangka kehidupan masyarakat Islam perlu kebijaksanaan yang tinggi dan halus serta keberanian yang ampuh dan tegar. Sekiranya mana-mana aspek ini hilang atau lebih teruk lagi, kedua-duanya hilang entah ke mana, agama dan masyarakat Islam akan sentiasa terpinggir dalam arus perdana negara dan dunia.
  • Hipotesis dan tujuan utama penulisan saya ini adalah untuk menyorot apa yang sedang berlaku dalam lanskap pengurusan dan pengimarahan masjid-masjid di Malaysia (dan juga di dunia) dan, di mana kedudukan institusi masjid dalam melihat dan melaksanakan agenda pembangunan ekonomi masyarakat Islam. Sedaya mungkin, saya akan memberi beberapa cadangan awal bagi pertimbangan semua pihak setelah saya berkongsi beberapa cabaran dan halangan yang sedang dihadapi dan akan dihadapi oleh institusi masjid dan pihak pengurusan serta pengawalseliaannya.

 

Analisa Status Semasa dan Analisa SWOT

  • Sebelum kita melihat status semasa atau lanskap dan peta aktiviti institusi masjid di Malaysia (dan juga di dunia), elok kita tinjau sejarah silam kegemilangan m Apabila berlakunya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para mukminin dari Mekah ke Madinah, Nabi SAW – dengan kebijaksanaan dan keberaniannya – telah meletakkan lima (5) batu asas kepada pembangunan sebuah negara baharu berasaskan fakta dan data kehidupan yang ada (yang selalunya tidak ideal dan sempurna). Polisi negara dan masyarakat tidak boleh dibuat berasingan apatah lagi bertentangan dengan fakta semasa. Memang senang membuat dan menggaris polisi baharu tetapi adalah lebih mencabar dan sulit membuat polisi yang selari dengan hakikat lanskap setempat dan semasa.
  • Apabila Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya sampai di kota Madinah, terdapat fakta-fakta kehidupan baharu yang berbeza dengan fakta-fakta kehidupan di Mekah. Pada waktu itu, Nabi Muhammad SAW dalam proses membina negara dan bukan lagi hidup dalam keadaan ditekan dan diburu. Namun, masyarakat Islam di Madinah mempunyai dua golongan yang berbeza latar belakang iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Di samping itu, terdapat juga golongan Yahudi dengan pelbagai latar belakang dan asal usul keluarga yang berbeza yang mendiami kota Madinah sejak sekian lama. Semua perlu disantuni dan diberi hak sebagai rakyat. Dalam aspek ekonomi, masyarakat Ansar adalah rata-ratanya masyarakat pengguna dan pasar utama di kota Madinah pula dikuasai oleh pedagang Yahudi. Ini telah berlangsung sejak sekian lama sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.
  • Nabi Muhammad SAW, sebagai Nabi dan pemimpin yang unggul, telah melakukan apa yang ‘tepat’ dan ‘berani’ dalam konteks fasa kehidupan ini. Antara polisi utama yang telah dilaksanakan, kedua-dua golongan Ansar dan Muhajirin dipersaudarakan. Ini memberi impak yang besar kepada kehidupan bersama-sama dua pengikut agama Islam dari dua latar belakang yang berbeza dalam pelbagai aspek. Kemudian, Perlembagaan Madinah dibentuk dan diperakukan oleh semua penduduk kota Madinah tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa mereka. Perkara ini disebut dengan jelas dalam Sahifah Madinah bahawa “kaum Yahudi adalah sebahagian daripada umat masyarakat Islam (ummatun min al-mukminin)”.
  • Bagi membentuk masyarakat Islam pengeluar yang baharu, Nabi Muhammad SAW membuat polisi pemilikan tanah percuma kepada sesiapa yang menerokai tanah perladangan yang baharu dalam sabdanya, “Barangsiapa yang menghidupkan tanah yang mati (bagi tujuan pertanian), maka tanah tersebut adalah miliknya”. Ramai para sahabat r.a. dari golongan Ansar dan Muhajirin berlumba-lumba membuka tanah pertanian baharu bagi menjadi masyarakat pengeluar dan bukan pengguna. Kemudian Nabi Muhammad SAW juga telah membuka pasar baharu kepada masyarakat Islam di luar kota Madinah setelah gagal mendapat tempat berniaga di pasar dan pasaraya golongan Yahudi. Dan yang paling penting, Nabi Muhammad SAW telah membina Masjid Madinah sebagai pusat segala aktiviti samada ibadah, keilmuan, politik, perniagaan, rundingan diplomasi dan seumpamanya.
  • Sinopsis ringkas di atas memberi gambaran jelas bahawa agama Islam adalah agama yang hidup dan mesti hidup dalam masyarakat. Aspek pengeluaran barang keperluan dan aspek pemasaran telah diperkasakan oleh Nabi Muhammad SAW sejak hari pertama pemerintahan Islam di kota Madinah. Kepentingan pembangunan ekonomi Islam sama kedudukannya dengan inisiatif keharmonian sosial (melalui persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin atau mu’akhah) dan kestabilan politik (melalui perlembagaan Madinah). Institusi masjid pula menjadi satu institusi yang dinamik dan mempunyai pelbagai peranan di zaman tersebut. Sebenarnya, dalam perbincangan kitab-kitab fekah dan sejarah Islam, tidak ada halangan kepada institusi masjid mempunyai pelbagai peranan selama mana difikirkan sesuai dengan keadaan semasa dan setempat.
  • Bagaimana pula keadaan semasa aktiviti pengurusan masjid sekarang di kurun 15 Hijrah? Secara keseluruhannya, masjid di era ini sudah menyedari keperluan menyusuri arus semasa dan menjadikan institusi masjid lebih dekat, relevan dan mesra dengan ekosistem kehidupan di kurun 21 Masihi/15 Hijrah. Malah, terdapat beberapa masjid di negara maju sudah beberapa langkah ke hadapan mencipta arus baharu dalam ekosistem masyarakat setempat. Ini semua dimulai dengan visi dan misi yang jelas dan diperkukuhkan dengan barisan pengurusan yang tahu bagaimana menterjemahkan idea dan visi kepada gerak kerja. Namun, saya merasai bahawa institusi masjid masih memerlukan satu suri teladan (role model) yang baik bersama satu prosedur operasi seragam (standard operating procedures) bagi mentransformasikan masjid menjadi pusat kecemerlangan masyarakat dari segi motivasi, idea dan pencetus kebaikan dalam pelbagai bidang kehidupan.

 

Bagaimana Hendak Bermula?

  • Kesedaran tentang kepentingan institusi masjid untuk bergerak dari keadaan semasa yang pasif-pengimarahan-pembangunan-ekonomi kepada satu tindakan yang tersusun bagi membina dan menyumbang kepada ekonomi masyarakat Islam sudah ada di dalam minda dan impian ramai orang. Ini adalah berita baik. Berita yang kurang baik adalah ketidakupayaan kebanyakan institusi masjid meletakkan satu pelan gerak kerja yang sudah dikaji dari segi kos dan keuntungan atau risiko dan nilai tambah yang ingin dicipta. Mungkin ada setengah pihak pengurusan masjid yang sudah berjaya meletakkan gerak kerja ini dan sudah beroperasi dengan baik, tetapi ia masih berbentuk tersisih dan tidak terangkum dengan institusi masjid yang lain walaupun mungkin dalam satu kawasan dan negeri yang sama.
  • Dalam bahagian ini, izinkan saya mencadangkan pelbagai perkara bagi memulakan langkah pertama. Langkah pertama atau beberapa langkah pertama adalah yang paling mencabar untuk memulakan kerja baharu yang belum dibuat sebelum ini. Kadang-kadang ramai orang ingin terbang tinggi di udara, tetapi mereka tidak pernah pun ingin belajar untuk terbang. Mana mungkin kita boleh bergerak dan berubah kalau tidak ada keinginan yang tinggi untuk berubah dan melakukan perkara baharu yang sederap dan senafas dengan zaman dan persekitaran.
  • Dalam buku saya, “Membumikan Syariah – Menjelajahi Dimensi Syariah Secara 360 Darjah”, saya telah sebut bahawa reka bentuk dan keberfungsian masjid adalah salah satu fekah baharu yang perlu dititik berat bagi menjadikan masjid relevan dengan lanskap semasa. Saya namakan fekah ini sebagai fiqh al-tasmim. Sekiranya reka bentuk dan lanskap masjid tidak sesuai bagi memikul pelbagai peranan yang lain, maka institusi masjid akan ‘terperangkap’ dalam dunia aktiviti biasa dan rutin yang terpisah dengan masyarakat. Kalau sesebuah masjid sudah pun siap dibina dan beroperasi, perlu dilihat semula sebarang pengubahsuaian yang perlu bagi melestarikan peranan masjid dalam konteks pengimarahan aktiviti ekonomi, sekiranya boleh dan wajar. Namun, sekiranya ini tidak dapat dilakukan kerana akan melibatkan kos yang banyak dan mungkin ada halangan kelulusan pihak berkuasa lain, pihak masjid masih boleh berinovatif mencari peluang dan ruang yang lain bagi turut terlibat dalam aktiviti perekonomian. Saya akan berikan beberapa pandangan dan cadangan nanti.
  • Saya menyedari bahawa banyak pihak pengurusan masjid tidak mampu dan tidak berupaya memulakan satu aktiviti perniagaan secara sendiri. Ini memerlukan kemahiran pengurusan perniagaan dan kewangan dan mungkin juga urus tadbir kewangan yang baik. Apatah lagi, sumbangan orang ramai dan juga peruntukan kewangan dari pihak berkuasa kepada masjid adalah untuk tujuan operasi Masjid dan bukan untuk tujuan perniagaan yang mempunyai pelbagai risiko. Menyedari kekangan ini tetapi mengambil maklum juga bahawa masjid adalah tempat tumpuan masyarakat Islam khususnya di hari Jumaat, pasti ada beberapa solusi yang boleh difikirkan bagi memanfaatkan kedudukan dan peranan masjid dalam ekosistem masyarakat Islam.
  • Berdasarkan latar belakang atau fakta kekangan di atas, pihak pengurusan masjid boleh melihat potensi pengimarahan masjid dari sudut akiviti perekonomian melalui beberapa pendekatan. Saya akan catat beberapa cadangan awal bagi pertimbangan semua institusi masjid dan juga pihak JAWI serta keseluruhan ekosistem pembangunan ekonomi Islam di Malaysia. Bekerjasama dalam agenda baharu dan besar adalah satu-satunya pilihan yang kita ada. Zaman sekarang memerlukan connectivity dan scalability. Sebarang aktiviti perekonomian yang tidak ada jaringan yang luas dan tidak mempunyai cakupan keperluan dan pengamal yang meluas akan menghadapi situasi tekanan yang amat hebat. Kebanyakan idea perekonomian sebegini akan mati dalam sekelip mata. Namun, masjid adalah satu institusi yang perlu didatangi masyarakat Islam setiap minggu. Ini memberi sedikit kekuatan kepada institusi masjid iaitu captive market yang boleh dioptimumkan bagi faedah semua pihak.
  • Aktiviti perekonomian yang paling mudah ialah menyewakan tapak tanah masjid – kalau ada keluasan – kepada para peniaga setiap hari Jumaat yang meletakkan harga keperluan asasi dengan harga yang berpatutan atau lebih murah daripada harga pasaran. Dalam konteks ini, pihak masjid boleh membuat pangkalan data setiap peniaga dalam kariah mereka untuk terlibat dalam skim ini. Skim ini akan menjadi lebih menarik sekiranya pihak masjid atau pihak kariah masjid menubuhkan satu koperasi bagi menyusun seluruh proses pembekalan dan penjualan barang-barang tertentu bagi faedah ahli-ahli koperasi. Peranan koperasi adalah cukup relevan dalam aktiviti ekonomi sosial dan Malaysia adalah antara negara Islam dalam kumpulan OIC yang agak aktif dalam sektor dan aktiviti koperasi. Namun, aktiviti koperasi di peringkat masjid belum seaktif mana. Dalam konteks ini, kerjasama yang kuat antara seluruh institusi masjid, JAWI dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia perlu diadakan. Mungkin boleh dicadangkan supaya pihak JAWI (dengan kerjasama MAWIP dan YaPIEM sebagai contoh) menubuhkan satu pasukan untuk membantu aspek latihan dan pengurusan koperasi masjid samada dari segi latihan, kewangan dan pendanaan, nasihat perniagaan, barang serta perkhidmatan yang paling sesuai untuk dijual dan boleh ditawarkan kepada institusi masjid .
  • Sesuai dengan era revolusi industri ke-4 yang berpaksikan Internet of Things (IOT), analisa data raya dan teknologi robotik, maka pihak masjid boleh terlibat dalam menyediakan prasarana kepada penciptaan konsep pejabat terbuka atau pejabat terapung (open or floating space) kepada bakal-bakal usahawan dalam ekonomi digital. Konsep pejabat atau tempat bekerja sudah berubah di zaman digital ekonomi ini kerana pengusaha ekonomi digital tidak lagi memerlukan pejabat yang khusus untuk mereka. Mereka hanya perlukan satu kawasan yang mempunyai meja dan kerusi (yang boleh dikongsi oleh semua orang) tanpa sebarang bilik tertentu dan mungkin satu bilik mesyuarat yang boleh digunakan secara bergilir-gilir.
  • Apa yang lebih penting ialah penyediaan kuasa internet yang laju bagi mereka menjalankan pembangunan sistem aplikasi atau software atau apa sahaja yang tergolong dalam ketegori ekonomi digital. Mungkin pihak masjid, dengan kerjasama pihak tertentu, boleh menyediakan beberapa tokoh dari luar secara berkala bagi memberikan motivasi, bimbingan (coaching) dan juga mentorship kepada bakal-bakal usahawan digital ini. Pelaburan dan kos perbelanjaan pihak masjid dalam bidang ini tidaklah sebesar mana tetapi impaknya adalah cukup signifikan. Projek sebegini di era sekarang akan meletakkan masjid di dalam hati masyarakat khususnya golongan remaja (dan juga pelajar) yang akan mendapat tempat dan ekosistem yang kondusif bagi membangunkan apa sahaja idea yang menarik dan boleh dikomersilkan. Ini boleh bertukar kepada satu revolusi perekonomian digital yang dipopularkan oleh institusi masjid iaitu “Ekonomi Digital di Bawah Bumbung Masjid”.
  • Selaras dengan iklim Revolusi Industri ke-4 dan teknologi bijak (smart technology), pihak masjid juga boleh mengambil kesempatan untuk terlibat dalam gelombang industri ini bagi faedah mereka. Terdapat pelbagai cadangan dan idea bagaimana pihak masjid boleh menjadi ‘pemain tegar’ dalam iklim baharu ini. Saya hanya ingin kongsikan satu cadangan sahaja. Antaranya, pihak masjid boleh menyediakan apps atau aplikasi bagi masyarakat awam (dan ahli jemaah) untuk menderma kepada akaun masjid tetapi kali ini menggunakan algoritma teknologi pintar yang memberikan kuasa dan kepuasan kepada pengguna (penderma) dan orang ramai. Dalam arus perdana teknologi pintar, pihak pengguna atau orang ramai mempunyai banyak pilihan dan pilihan itu sebenarnya adalah kuasa ekonomi baharu.
  • Dalam konteks masjid khususnya, untuk sumbangan kepada masjid, satu apps boleh dibangunkan dan dilancarkan bagi memberi peluang kepada orang ramai memilih kategori derma atau sumbangan yang mereka ingin sumbangkan contohnya kos penyelenggaraan dan penambahbaikan masjid, bantuan ahli kariah miskin dan kemalangan, majlis ilmu dan peningkatan kualiti diri, pembangunan ekonomi masyarakat Islam, sumbangan kepada pekerja asing Islam yang memerlukan bantuan, kelestarian masjid, aktiviti sukan, sosial dan rekreasi masjid dan pelbagai bentuk sumbangan yang ingin disalurkan kepada m Ini semua dapat dimudahcara melalui aplikasi bijak dan pintar.
  • Pendekatan sebegini bukan sahaja memberi pilihan dan kepuasan kepada ahli masyarakat, tetapi dapat mencapai ketelusan dan penzahiran kepada seluruh ekosistem aktiviti masjid iaitu berapa banyak sumbangan yang terkumpul, berapa lama masa yang diambil untuk mandapat dana dan menyumbang, profil penyumbang, bagaimana dan bila wang sumbangan ini digunakan dan apakah impak sumbangan ini kepada seluruh ekosistem di sekitar masjid untuk setiap RM1 yang dibelanjakan. Pengukuran impak adalah salah satu maqasid syariah yang baharu, yang perlu ditonjolkan semula dalam masyarakat. Ini hanya dapat dilakukan melalui teknologi pintar.
  • Institusi masjid boleh melancarkan banyak projek sosio-ekonomi tanpa batasan kerana semuanya dibuat melalui sistem internet dan semuanya adalah telus dan jelas. Ini sesuai dengan sifat agama Islam iaitu ketelusan dan penzahiran semaksima mungkin. Sekiranya pendekatan ini sudah berjaya dalam banyak sektor sosio-ekonomi lain di seluruh dunia, kenapa tidak di institusi masjid yang merupakan nadi kepada masyarakat Islam setempat? Potensi pengimarahan masjid dalam sektor pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam melalui teknologi pintar adalah terlalu besar. Ia juga boleh menjadi alat dan mekanisma komunikasi baharu antara institusi masjid dengan seluruh ahli masyarakat yang berbentuk 24/7 dan juga berdata serta berimpak. Pendataan aktiviti masjid dan profil ahli jemaah masjid adalah satu kelompongan yang perlu diatasi secepat mungkin.

 

Halangan dan Cabaran

  • Sudah pasti halangan yang paling mencabar adalah cabaran minda (mindset) untuk melihat sesuatu perkara atau isu dalam kerangka pemikiran yang baharu dan lebih tepat dengan lantai kehidupan. Takrifan dan definisi serta keyakinan tegar bahawa masjid hanyalah untuk aktiviti keagamaan yang khusus semata-mata sudah lapuk dan basi. Masjid mempunyai lokasi dan lanskap yang perlu digunakan setiap kaki persegi daripadanya bagi tujuan pembangunan masyarakat Islam. Contoh peranan dan fungsi Masjid Nabi di Madinah yang holistik dan pelbagai bidang perlu ditayang semula dalam minda pengurus-pengurus masjid di Malaysia. Malah, peranan dan fungsi masjid mesti berubah berdasarkan fakta dan data kehidupan semasa. Fokus dan strategi pula mestilah sezaman dan setempat supaya masjid benar-benar layak dinobatkan sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam.
  • Cabaran yang kedua ialah kesediaan untuk berubah setelah minda kita telah akur dengan fakta dan data semasa. Ramai orang boleh bercakap tentang perubahan, inovasi dan reformasi tetapi untuk berubah, mereka adalah orang yang terakhir sekali memulakan langkah Semangat dan falsafah perubahan dalam al-Quran bahawa “Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum (golongan, masyarakat dan negara) sehinggalah kaum itu mengubah cara fikir dan cara kerja mereka” sukar untuk diterjemahkan dalam kehidupan harian.
  • Kebanyakan kita selalu berceramah dan memberikan ucapan bagi menaikkan semangat untuk bekerja habis-habisan dan melakukan perubahan dalam sebarang kerja dan tanggungjawab. Malangnya, pada masa yang sama, mereka sebenarnya mengharapkan orang lain untuk bekerja kuat dan berubah. Dia sedap duduk melahu, orang lain pula bekerja sampai muka jadi biru. Saya banyak menulis tentang cabaran sikap ini dalam buku saya bertajuk “Pulun – Lima Huruf Yang Bakal Mengubah Hidup Anda (2018)”. Masalah umat Islam yang paling utama ialah masalah sikap dan cara kerja.
  • Cabaran terakhir ialah kesediaan dan kebolehan bekerja secara sinergi antara satu sama lain. Dalam konteks pembangunan ummah, kita tidak ada pilihan lain selain menjalin kerjasama antara institusi masjid atau agensi-agensi yang bertanggungjawab dan juga dengan para aktivis NGO dalam masyarakat serta para ahli perniagaan. Setiap mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan yang tidak dimiliki oleh orang lain dalam masyarakat. Melihat kepada kepentingan untuk memodenkan masjid dari segi teknologi pintar, mungkin dapat dicadangkan supaya satu panel penasihat teknologi pintar di bawah JAWI yang dianggotai oleh semua lapisan masyarakat samada dari segi pegawai tetap, para sukarelewan dan juga ahli perniagaan dapat ditubuhkan. Secara tidak langsung, ini juga dapat meringankan beban pihak masjid yang ingin bersama-sama dalam program pengimarahan masjid melalui pendekatan dan strategi teknologi pintar.

 

Harapan dan Impian

  • Masjid adalah nadi masyarakat Islam. Ia mestilah sederap dan senafas dengan segala permasalahan masyarakat Islam dan juga membuat pendekatan baharu dalam masyarakat Islam. Walaupun masjid tidak boleh menyelesaikan semua masalah sosio-ekonomi ummah, namun masjid mesti berperanan mencetuskan penyelesaian kepada masalah ummah. Peranan sebagai pencetus (catalyst) adalah mencukupi dan memadai. Dengan sistem pengurusan dan penyampaian (delivery) yang mantap, institusi masjid mungkin boleh menjadi ‘penghubung’ yang paling efektif antara semua agensi sosio-ekonomi dan pembangunan ummah.
  • Masjid bukan sahaja diharap menjadi nadi kepada masyarakat Islam, ia sepatutnya menjadi suri teladan (role model) kepada masyarakat Islam dalam semua aspek; pengurusan kewangan, ketelusan dan penzahiran, kebersihan, kelestarian dan kemanusian, pengukuran impak, aspek motivasi dan inspirasi dan juga pencetus kepada kebaikan dalam semua aspek kehidupan. Dokumen menjadikan masjid sebagai role model perlu diperbincangkan lagi supaya setiap aspek dapat diperhalusi dan dijadikan  Key Performance Indicator (KPI) pada institusi masjid dan pihak pengurusannya. Pengurusan masjid adalah satu amanah yang amat besar kerana masjid adalah wajah dan suara kepada agama Islam. Pastinya, setiap pihak pengurusan dalam setiap organ kehidupan perlu ada KPI masing-masing yang perlu dicapai. Inilah maksud amanah pengurusan dalam ajaran agama Islam.

 

[1] Kertas kerja dibentangkan di Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Peringkat Wilayah Persekutuan 2019M/1440H, anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 17 Januari 2019.

[2] Datuk Dr Mohd Daud Bakar adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPIEM dan juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan juga Pengerusi Jawatankuasa Syariah di First Abu Dhabi Bank (Abu Dhabi) dan Permodalan Nasional Berhad. Beliau juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif  kepada Kumpulan Amanie dan juga seorang penulis yang aktif dalam dunia penulisan.

"Your dream of today is essentially you
in the future."

Copyright 2019. Mohd Daud Bakar. All Rights Reserved.

Search