MDB Articulates

Wakaf: Instrumen kewangan atau keagamaan?

Ucaptama oleh YBhg Datuk Dr Mohd Daud Bakar ini adalah bersempena Majlis Perasmian Muktamar Iqlimi IV 2017 yang berlangsung pada 19 September 2017 di Dewan Kuliah Fakulti 1.1 FEM, USIM pada 19 September lalu.

Pendahuluan:

“Tidak ada sahabat yang meninggal dunia tanpa melakukan wakaf samada ada kecil atau besar”. Itulah tradisi suatu masyarakat Islam yang dinamik yang dibuktikan dengan perbuatan dan tindakan dengan minda strategik yang dinukilkan dari Kitab Hayatul Muhtaj oleh Ar-Ramli. Berasaskan kenyataan tersebut, wakaf perlukan satu lonjakan minda yang baru bagi mengelakkan instrumen wakaf semakin hari semakin terkubur dan terpinggir, bukan kerana instrumen wakaf itu tidak produktif tetapi mungkin kerana kelemahan kita untuk memahami instrumen yang tidak disebut secara langsung di dalam al-Quran.

Adakah wakaf ini satu instrumen keagamaan atau instrumen kewangan? Instrumen keagamaan adalah satu ibadah khusus kepada Allah seperti solat dan puasa. Haji dan zakat juga mempunyai hybrid di antara dunia dan akhirat kerana melibatkan hal-hal mengenai logistik, faedah-faedah sosial-ekonomi, hospitaliti yang melibatkan proses, pengurusan dan polisi. Sama seperti zakat, wakaf adalah satu instrumen kewangan semata-mata yang mungkin bertitik tolak daripada motivasi agama iaitu motivasi Al-Birr yang disebutkan oleh Allah dalam Surah Ali ‘Imran, 3: 92), dan sering dikaitkan dengan konteks sedekah jariah untuk meraih balasan berterusan hingga hari akhirat. Oleh itu secara jelas wakaf adalah instrumen kewangan dengan motivasi agama.

Wakaf adalah ilmu ijtihad dengan ilmu kemanusiaan yang tinggi

Wakaf ini merupakan satu ilmu kewangan yang unik semakin dikaji, ia semakin berkembang dan menjalar, semakin mencambah serta membumi menunjukkan bahawa instrumen ini akan kekal sampai hari akhirat. Tak habis- habis rahsianya, caranya, pendekatannya dan juga strategi membangunkannya, menguruskan, dan menambahbaikan wakaf. Allah telah tanam keberkatanNya dalam wakaf yang tidak dapat dipertikaikan. Buka sahaja topik wakaf, ada sahaja idea yang baru, cara yang baru kerana ia melibatkan satu sumbangan kerana Allah. Anything to do with Allah will always be evergreen. Ada pemberatnya fi mizanillah fi Subhana Allah Taala. Diantaranya adalah wakaf dan juga Qard al-Hassan yang disebutkan dalam Al-Quran di mana Qard Hasan disebutkan dua kali. Disebutkan siapa yang memberikan hutang, bukan kepada makhluk, tetap kepada Allah sedangkan Allah tidak memerlukan Qard tetapi disandarkan dan dimetaforakan kepada Allah.

Wakaf adalah satu instrumen kehidupan dan nadi kehidupan yang menyokong sektor ketiga. Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan atau swasta kerana kemampuan mereka terhad. Kerajaan dan swasta sektor ada keterbatasannya. Ada kekangan return in equity, performance, balance sheet dan risiko. Manakala sektor ketiga seperti sedekah, infaq dan wakaf seperti firman Allah (maksudnya), “Tidak ada (sepatutnya) halangan kepada orang-orang yang ingin melakukan kebajikan”, Tidak ada penyekat dan penghalang bagi orang yang melakukan kebaikan. Perlu ada kreativiti dalam melakukan kebajikan dan kebaikan. Itulah tafsir kepada ayat al-Quran ini. Kata imam Al-Qurtubi ayat ini memberi satu minda baharu dalam bab ihsan, dalam melakukan kebaikan tidak boleh kita susah-susahkan, mudah-mudahkan dan lestarikan aspek kebajikan dalam masyarakat. Allah pun tidak meletakkan sabil iaitu penghalang-penghalang kepada kebajikan dan kebaikan. Malah di terima sifat gharar, ketidaktentuan dalam bidang kebajikan. Gharar boleh membatalkan kontrak jual-beli tetapi tidak boleh membatalkan kontrak kebajikan seperti kaedah fekah bahawa gharar diampunkan dalam kontrak-kontrak tabarruat, tetapi gharar akan membatalkan kontrak muamalah “yufsidu aqd al-muamalat”. Itu bidang fekah. Wakaf adalah ilmu kemanusiaan yang tinggi. Wakaf di zaman dahulu dan di zaman kegemilangan Islam termasuk bandar Fest, Qarawin dan university Zaitunnah dari segi sejarahnya telah melahirkan ramai ulama’ yang hebat. Ilmu wakaf adalah ilmu yang melibatkan ijtihad bukan nassi atau teks perundangan. Ia bukan ilmu tentang teks perundangan Quran dan sunnah. Ia berbeza dalam penerimaan masyarakat dan hal tertentu.

Wakaf perkhidmatan

Perbincangan Ulama telah membahaskan wakaf bukan sekadar aset atau hartanah tetapi juga aset manqul dan movable. Malah kajian yang sedang saya jalankan, saya melihat dalam Kewangan Sosial Islam (Islamic social finance) wakaf juga perlu mencakupi perkhidmatan kemanusiaan. Tema kemanusiaan yang diterima seluruh dunia seperti “Doctors without borders”, wakaf tidak hanya terhad kepada alatan hospital dan perubatan. Untuk pengetahuan, bank dunia telah keluarkan sukuk sebanyak US Dollar 500 million sukuk pada 3 tahun yang lepas untuk disalurkan kepada pelarian-pelarian dan mangsa peperangan dalam bentuk selimut dan vaksinasi. Namun, yang paling penting selain daripada alatan serta ubat-ubatan adalah doktor dan jururawat. Persoalannya bolehkah kita melakukan wakaf perkhidmatan atau disebut sebagai wakaf al-khadamat.

Alhamdulillah saya telah jumpa dalam kitab al-Turath bahawa boleh dilakukan wakaf al-khadamat dengan penggunaan masa itu untuk diwakafkan. Ini kerana tanpa doktor, instrumen wakaf tidak boleh bergerak dan produktif. Doktor perlukan gaji kerana mereka juga ada kekangan kewangan. Wakaf boleh memainkan peranan. Mungkin betul ataumungkin salah itu soal akademik. Tetapi kita kena war-warkan satu konsep wakaf yang baharu. Masa sumbangan doktor di skima United Nation boleh diunitkan kepada satu konsep yang boleh diterima Syariah dalam menyelesaikan masalah kemanusiaan. Seperti mana kerja-kerja pensyarah di univerisiti, unit 1 jam kredit misalnya boleh diwakafkan sebagai wakaf al-khadamat.

Wakaf bertempoh

Ijtihad mengenai wakaf bertempoh iaitu samada mua’bad (selama-lamanya) atau mua’qqat (tempoh tertentu) ini dibenarkan Ulama’. Ini menunjukkan wakaf adalah bidang kemanusiaan berdasarkan kebolehan manusia berwakaf. Kadang-kadang manusia tidak boleh berwakaf sampai bila-bila. Ia mungkin hanya boleh berwakaf untuk satu tempoh dan kemudian harta wakaf itu dikembalikan semula kepada pembuat wakaf.

Mewakafkan dividen dan keuntungan pelaburan

Keperluan wakaf dalam bentuk baharu seperti mewakafkan dividen atau keuntungan pelaburan juga perlu digalakkan. Ini kerana kita melihat hari ini di Malaysia ramai orang-orang korporat ada pemikiran yang baru. Mereka tidak mewakafkan simpanan mudharabah atau saham mereka tetapi hanya keuntungan atau dividen. Pihak USIM boleh buat kajian tentang wakaf yang melibatkan buah dan bukan pokok itu. Dan dikalangan korporat ramai yang ingin berwakaf tetapi bukan dermawan kerana mereka lebih kepada menginginkan perlindungan bagi harta mereka. Walaupun sedikit tetapi tetap memberikan faedah dan dikira sedekah. Keuntungan daripada simpanan itulah yang diwakafkan.

Penerima wakaf

Penerima wakaf seharusnya lebih melebar dan inklusif meliputi manusia, Muslim, Non-Muslim, haiwan, alam sekitar, segala- segalanya dan wakaf seharusnya satu instrumen yang baharu sebagai solusi masalah kehidupan.

Pengurusan wakaf dan kerja-kerja penyelenggaraan

Pengurusan harta wakaf itu sendiri bukan lagi soal agama tetapi ia soal satu pengurusan yang professional seperti kerja-kerja penyelenggaraan. Banyak harta wakaf tidak dijaga dengan baik menyebabkan bebanan kepada masyarakat. Nilainya menurun kerana menguruskan harta wakaf memerlukan kewangan. Kita bincang masalah kita hari ini, kita banyak memberikan wakaf untuk membina tetapi tidak untuk menyelengarakannya. Apa salahnya jika kita wakafkan untuk kos kerja-kerja penyelenggaraan. Walaupun tidak nampak wakaf tersebut untuk membina hospital, bangunan, masjid sebagai contoh, tetapi untuk kerja-kerja penyelenggaraan itu juga wakaf dan pahalanya InSyaAllah diterima oleh Allah.

Wakaf insurans

Wakaf dari segi kerja-kerja penyelenggaraan (al-Siyanah). Dari segi keselamatan struktur bangunan perlu ada insurans kerana membabitkan keselamatan sekiranya berlaku kecelakaan dan insurans diperlukan untuk membayar liabiliti bagi kes-kes yang melibatkan keselamatan. Perlu ada wakaf insurans. Contohnya bagi mesin Hemodialisis kalau ada keracunan dan menyebabkan mudarat kepada pesakit, siapa yang akan dipertanggungjawabkan. Tidak ada jaminan sebab tiada pemilik. Perlu ada wakaf kepada kawalan kualiti, keselamatan dan insurans. Perlu ada jalur melengkapkan aliran wakaf sebagai aliran kewangan dan bukan aliran keagamaan semata-mata.

Mencairkan harta wakaf melalui al-Tawriq

Adakah kita boleh menjual sebahagian harta wakaf untuk menampung kos pengurusan yang dikenali sebagai Tawriq. Kita mencairkan harta wakaf bukan kesemuanya mungkin 1/3 atau 1/10 untuk membayar gaji Imam, Muazin, keselamatan, pengurusan sampah sarap dan sebagainya. Dalam kitab fekah ini dibenarkan tetapi tidak diwar-warkan dalam masyarakat. Malah masyarakat meletakkan beban kepada pengurus wakaf, pandai-pandailah nak menampung kos-kos tersebut. Ini konsep yang salah. Dalam kitab fekah ada juga menyatakan bahwa wakaf hanya sah jika dapat ditunjukkan aliran tunai untuk menjaga kelestariannya. Jika tidak ada maka Nazir atau mutawwali boleh menjual sebahagian apa yang perlu untuk menjaga kelestaraian wakaf tersebut. Ia dipanggil al-Rie’ iaitu pendapatan. Dalam kitab-kitab fekah ada menyebutkan jika kita mewakafkan pohon kurma, maka boleh diambil satu pohon kurma untuk dijual bagi membayar orang-orang yang bekerja di tanah wakaf. Ia adalah satu sandaran yang kuat dan kukuh. Kenapa tidak kita analogi atau qiaskan kepada perkara-perkara yang lain. Sebab untuk tanaman kurma itu kekal ianya perlu diselenggarakan. Perlu tebang dan tanam balik. Siapa yang akan menanggung kos tersebut? Samada melalui pewakaf baru atau kita cairkan sebahagian daripada harta wakaf tersebut.

Harta wakaf perlu dikembangkan

Harta wakaf bukan sahaja perlu dijaga dengan baik, tetapi perlu dikembangkan supaya niat pewakaf sampai kepada tujuan harta itu diwakafkan. Contoh pembinaan masjid, tetapi tiada modal dari pihak mutawwali untuk membuat zoning dan ukur tanah. Hari ini semuanya kos sedangkan wakaf kita hanya melibatkan tanah sahaja. Wakaf perlu direvolusikan semula. Supaya wakaf itu satu aturcara yang lengkap. Tidak salah jika kita mengatakan bukan sekadar memberi wakaf tetapi juga memberi izin untuk mencairkan sebahagian harta wakaf tersebut untuk pengurusan dan pembangunan wakaf. Kerana itu kerajaan Uthmaniayah di Turki dan empayarnya ada banyak instrumen kewangan melibatkan wakaf sebagai contoh Kaedah Pinjaman Mursad iaitu konsep sewa dan sewa balik. Satu sewa untuk tempoh 5 tahun dan satu sewa lagi untuk tempoh 100 tahun. Supaya pihak pengusaha wakaf boleh menyewa dan mendapatkan habuan sewaan itu untuk tempoh yang panjang. Dan orang yang mendapatkan sewaan boleh guna harta wakaf tersebut seolah-olah miliknya selama 100 tahun. Ia akan dibangunkan, dibina dan diletakkan modal membangunkan sekolah atau universiti. Sebab itu Turki maju kerana ada pinjaman Mursad. Dalam Bahasa klasiknya Mursad atau “lease and lease back”. Selepas 100 tahun dan dah dapat manafaatnya maka ia akan diserahkan kemabali kepada Nazir atau mutawwali. Kenapa tidak kita kembangkan dalam instrumen kewangan seperti jual janji, beli kemudian beli balik. Boleh tak kita minta pihak fatwa melihat bagi membolehkan kita jual harta wakaf dengan letak pilihan “buying back”. Dalam mazhab Hanbali sebut jual dengan hak prioriti untuk membeli balik. Maksudnya pihak yang membeli harta wakaf tidak boleh menjual kepada pihak lain melainkan dengan kebenaran mutawwali. Dalam mazhab Hanbali ada keadah tersebut. Dalam kewangan Islam kami banyak guna konsep ini dalam produk Islamic repo dan sebagainya.

Pengalaman di Singapura, saya mendapat panggilan daripada mufti yang lepas, bagi menyelesaikan tanah-tanah wakaf yang terbiar di Singapura kerana kerajaan Singapura telah meluluskan undang-undang baru untuk merampas tanah-tanah yang tidak di bangunkan. Satu perkara yang cukup besar dan meminta pihak mufti untuk kumpulkan tanah-tanah yang tidak produktif dan jualkan, istibdalkan dan dapatkan modal untuk fokuskan kepada tanah-tanah yang berimpak tinggi. Dan kita fokus kepada 2 projek di Orchard road dan Bencoleen road. Kalau pergi hari ini ditengah-tengah pusat membeli belah di Singapura ada masjid dan sekolah agama yang tersergam indah. Tetapi kita jadikan instrumen kewangan iaitu dalam tanah itu dengan modal jualan tanah tersebut dalam 9 juta Singapore dollar dan kita perlukan 27 juta lagi untuk dibangunkan service apartment dibahagian belakang. Lengkap sebagai kompleks dan pihak Majlis Agama Islam Singapura menubuhkan anak syarikat Warees sebagai penganalisa kewangan membuat due diligence dalam hal undang-undang, percukaian dan pelabur dan keluarlah sukuk musyarakah yang berjumlah 27 juta Singapore dollar untuk bangunkan service apartment dan masjid. Selama 10 tahun bayar sukuk dan dah habis sukuk, aset tersebut akan menjadi milik wakaf sepenuhnya. Malah pulangan kepada harta wakaf tersebut lebih banyak daripada harta wakaf yang tidak dibangunkan. Hasil wakaf juga boleh diberikan biasiswa dan apa-apa yang diniatkan oleh pewakaf yang dikumpulkan atas dua keping tanah tersebut. Jika ada kesempatan pergi ke Singapura boleh datang melawat dan tengok sendiri bahagian pengurusan service apartment. Service apartment 5 star dimiliki oleh wakaf.

Wakaf perlu mencipta aset wakaf baharu

Aset wakaf perlu mencetuskan aset wakaf yang baharu. Bukan sekadar dibiayai, diselenggara malah tidak menurun dan bertambah. Ia perlu tambah aset baharu. Aset wakaf berpotensi untuk dikembangakan dan mencetuskan asset wakaf yang baru. Satu pengalaman yang unik. Kita melihat di Zaitunnah, Al-Azhar, di Qarawin tidak ada contoh ini. Tetapi kita melihat di Harvard di Oxford dan di Cambridge aset yang sedikit dikembangkan dan dilaburkan dan bertambah asetnya. Setiap bangunan kolej di Cambridge, di Oxford dan di Harvard seperti King college ianya dibina menggunakan wang hasil daripada pelaburan endowment dan bukan daripada bantuan kerajaan. Wang penjanaan wakaf yang asal. Wakaf mencipta lebih banyak wakaf. Kita minta para penyelidik melihat bagaimana aset wakaf dikembangkan dan bukan sekadar dijaga. Siapa pergi ke Harvard, kita lihat perpustakaannya adalah wakaf, kolejnya adalah wakaf dan gaji sebahagian pensyarahnya juga adalah wakaf atau endowmen. Kita kena melihat hikmah itu seumpama kita ada barang yang hilang dan kena belajar daripada masyarakat luar.

Wakaf adalah aset yang tiada liabiliti – Dekat dihati dan solusi sektor pendidikan

Wakaf adalah aset kewangan yang unik ini kerana semua aset kewangan yang diletakkan di bank adalah aset yang berliabiliti. Tetapi aset wakaf tidak ada liabiliti dan kos percuma (Free of cost). Di Saudi di masa tidak ada lagi perbankan Islam, mereka meletakkan wang di bank konvensional atau pun perbankan Islam tetapi tidak ambil interest atau profit wang tersebut kerana mereka menganggap ia haram, syubhah. Kita melihat prestasi bank-bank di Saudi, return on equity yang tertinggi di dunia adalah di Saudi. Mereka meletakkan share 1 ringgit pulangannya 70 sen. Di Malaysia letak 1 ringgit dan pulangannya hanya 10 sen sahaja. Di Saudi sampai sekarang, return on equity tinggi sebab pendeposit tidak mengambil keuntungan tersebut. Kejahilan masyarakat Arab Saudi, mereka tidak mengambil dividen kerana haram dan akhirnya dimiliki oleh bank. Wakaf hari ini dalah kewangan yang tiada berliabiliti. Dalam kitab-kitab fekah, ulama membenarkan banyak pengecualian. Mereka kata boleh harta wakaf dilaburkan dengan dijamin oleh pengurus wakaf tersebut. Tidak ada liabiliti malah boleh dijaminkan oleh pihak yang ketiga.

Semoga Allah menjadikan wakaf dekat dihati dan diminda. Dan kita menjadi pengamal dan pencetus wakaf yang bermula dengan motivasi agama dan diteruskan dengan disipilin ilmu kewangan. Menjadikannya lebih mantap dan boleh membina kekuatan ekonomi sehingga boleh budget negara. Sektor pendidikan umpamanya adalah sektor yang dinamik tetapi banyak masalah. Mungkin wakaf sebagai penyelesaiannya. Pandangan peribadi saya, wakaf adalah satu-satunya solusi kepada pendidikan. Tetapi kita perlu buka minda kita. Kita bagi tahu kerajaan dalam bajet ini untuk memberikan insentif cukai atau rebat kepada penyumbang wakaf. Kita war-warkan kepada kerajaan. Kita faham bajet kewangan kerajaan yang tidak menentu hari ini. Kita buka satu peluang lagi iaitu wakaf yang memerlukan insentif percukaian daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah pendidikan. Everyone deserves education – of course- for those who wanted to have the education. Mereka yang minat belajar tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan pada kadar yang mereka mampu bayar. Mudah-mudahan wakaf dapat memberikan solusi. Saya akan berjuang bersama tuan- tuan dan puan- puan menjadikan wakaf sebagai solusi terbaik dalam sektor pendidikan sama ada rendah, menengah, diploma atau ijazah pertama.

Transkripsi disediakan oleh:
Pn Nur Atika Binti Atan
Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Dikemaskini oleh:
Prof Madya Dr Fuadah Johari
Fakulti Ekonomi dan Muamalat

 

Source Article: http://www.usim.edu.my

"Your dream of today is essentially you
in the future."

Copyright 2019. Mohd Daud Bakar. All Rights Reserved.

Search