Blog

Kimchi, Ikan Masin dan Muzium Kemiskinan (Bahasa Melayu)

Makanan melambangkan keadaan sesuatu bangsa satu ketika lalu. Begitulah juga dengan bangsa Korea. Mereka selalu tersepit dan terperangkap dengan peperangan dua kuasa besar Jepun dan China sejak beratus tahun. Itulah nasib negara mereka. Tidak pernah aman dan merdeka.

Kimchi adalah makanan jeruk sayur.. yang ada semua rasa.. masin, pedas dan sayuran. Ini boleh disimpan lama kerana ia berbentuk jeruk. Ianya mudah didapati dan disimpan. Ia pastinya membuka selera tetapi di masa dahulu ia adalah makanan utama orang Korea. Makan untuk hidup.

Di samping itu, ikan masin adalah lauk utama masyarakat korea pada masa dahulu. Namun begitu, bukan semua keluarga di Korea mampu makan ikan masin setiap hari. Dalam pembacaan saya tentang sejarah Korea, dikhabarkan bahawa ikan masin hanya digantung di atas siling rumah supaya setiap ahli keluarga hanya dapat melihat ikan masing dan mengambil inspirasi enaknya makan ikan masin dalam minda mereka. Begitulah tahap kemiskinan dan kefakiran bangsa Korea suatu ketika dulu.

Tetapi apakah nasib ini berterusan? Tidak. Mereka telah meletakkan fasa kemiskinan dalam muzium. Kemiskinan hanyalah sejarah lama yang tempatnya sebagai artifak dan koleksi sejarah di muzium. Mereka sudah menapak ke hadapan...membuka pintu keilmuan dan penyelidikan. Allah SWT tidak mengubah sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubah "apa" yang ada dalam diri mereka. Apakah "apa" ini? Cara fikir dan cara hidup.

Nasib tidak pernah berubah dengan kebetulan semata-mata apatah lagi dengan mencari kelemahan orang lain (serta membesar dan menyombongkan diri sendiri). Ia semestinya kerja kuat dan berterusan. Setiap satu yang diperlukan mesti ditanda senaraikan. Checklist. Apakah checklist dalam diari anda?

Menariknya, walaupun Korea Selatan sudah berjaya dalam tempuh yang lebih cepat dari Jepun, mereka tidak pernah lupa kepada kimchi dan ikan masin mereka. Ia sentiasa ada dalam setiap menu makanan mereka. Bila berjaya, jangan lupa asal usul kita. Jangan lupa agama dan bangsa serta negara kita.

Apa yang ada dalam fikiran saya sekarang? Mungkin kita perlu bina satu muzium baru di negara kita. Muzium kemiskinan. Kenapa ya? Supaya setiap anak-anak kita - dari pelbagai bangsa dan latarbelakang - dapat mengerti apa erti menjadi seorang yang miskin. Kemiskinan adalah musuh utama kepada kemanusian sejagat. Dunia sepatutnya bersifat empatik antara semua warganya.. yang susah dibantu, yang kebuluran dan kehausan diberi sesuap nasi dan seteguk air, yang sakit diberi vaksin, yang terpinggir dek pelarian perang atau konflik diberi bumbung, makanan dan pendidikan.

Siapa di kalangan kita yang ingin menyumbang kepada menubuhkan muzium kemiskinan? Saya ingin menyahut cabaran memberikan masa dan tenaga secara suka rela untuk menjadikan impian ini satu kenyataan.

Dari Elsyian Ski Resort, Seoul.

MDB

 

"Your dream of today is essentially you
in the future."

Copyright 2019. Mohd Daud Bakar. All Rights Reserved.

Search