KUALA LUMPUR 23 Mac – Para cendekiawan Islam diingatkan supaya lebih berani dan memainkan peranan penting dalam menjadikan produk-produk kewangan Islam relevan dan sofistikated, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sultan Nazrin bertitah, penglibatan golongan cendekiawan dalam produk-produk syariah amat mustahak bagi memperlihatkan perkembangan berterusan, inovasi dan pembangunan dalam kewangan Islam.
“Penglibatan cendekiawan Islam akan membuka lebih kemungkinan kepada penawaran produk yang lebih meluas dan lebih menarik bagi membolehkan penyediaan keperluan kewangan yang pelbagai dalam dunia yang kini berevolusi.
“Beta percaya, sebagaimana industri berevolusi pada tahun-tahun akan datang, peranan cendekiawan Islam akan menjadi lebih signifikan. Para cendekiawan adalah benteng dalam percambahan ilmu,” titah baginda pada majlis pelancaran buku Minda Syariah Kewangan Islam dan versi terjemahannya dalam bahasa Inggeris, Syariah Minds in Islamic Finance.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar yang juga penulis buku tersebut.
Titah Sultan Nazrin, ulama dan cendekiawan adalah golongan terbaik untuk berperanan sebagai sebuah institusi yang melakukan perubahan menerusi penyelidikan dan memenuhi permintaan model konseptual baharu seperti yang diperlukan masyarakat.
Sehubungan itu, titah baginda, kerja-kerja yang dilakukan mereka (ulama dan cendekiawan) mesti boleh dicapai, difahami dan aktif disalurkan kepada pengamal industri, pelajar-pelajar syariah, pihak berkuasa pengawal selia, penggubal dasar dan masyarakat umum.
“Sesungguhnya ingatan ini adalah untuk keberanian cendekiawan syariah untuk meninggalkan ‘menara gading’ masing-masing dan melibatkan secara langsung dalam pembangunan industri kewangan Islam,” titah Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin turut bertitah kewangan Islam pada waktu ini mewakili kurang satu peratus daripada aset-aset kewangan global selain masih tertumpu dalam pasaran-pasaran terhad.
Bagaimanapun, baginda bertitah, unjuran pertumbuhannya memberangsangkan dan berterusan mengatasi sistem kewangan konvensional.
“Mengikut Standard & Poor’s, kewangan Islam sekarang dianggarkan memiliki AS$2.5 trilion aset di bawah pengurusan dengan potensi untuk meningkat sehingga AS$5 trilion sehingga akhir dekad ini.
“Mengikut Laporan Kestabilan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam 2015, kewangan Islam telah mencapai kategori kepentingan sistematik dalam 12 buah negara di dunia yang mana industri itu memiliki 15 peratus penguasaan pasaran dalam pasaran perbankan keseluruhannya. Jumlah negara yang dijangka terlibat dalam sistem kewangan Islam akan berganda dalam beberapa tahun akan datang,” ujarnya.
Source Article: http://www.utusan.com.my