Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Hall Amanie Sdn Bhd kini sedang merangka Rangka Kerja Ekonomi Digital Islam (IDE), rangka kerja pertama seumpamanya dibangunkan di Malaysia.
Difahamkan rangka kerja itu juga adalah yang pertama seumpamanya dibangunkan di dunia setakat ini.
Naib Presiden, Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan MDEC, Norhizam Kadir, berkata pembangunan rangka kerja itu adalah untuk mewujudkan ekosistem yang dinamik dan kukuh bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital berlandaskan Syariah di Malaysia.
Beliau beliau berkata, dengan adanya rangka kerja itu akan mengukuhkan lagi kepemimpinan negara ini sebagai peneraju dalam pasaran halal global.
Katanya, ia akan meliputi rangka kerja berlandaskan Syariah dan halal, perdanaan dan pembiayaan, kawal selia ekonomi digital Islam dan operasi perniagaan halal dan Syariah.
“Rangka kerja ini akan menjadi panduan kepada syarikat pemula berkaitan digital dan modal teroka (VC) untuk terbabit dalam ekonomi digital Islam.
Kami jangka rangka kerja ini akan siap pada Mac tahun depan,” katanya pada taklimat media mengenai pembangunan rangka kerja itu di Kuala Lumpur, semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Hall Amanie, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Kuasai pasaran digital Islam
Norhizam berkata, kepemimpinan Malaysia dalam sector kewangan Islam dan halal menjadi kelebihan kepada negara ini untuk mengesuai pasaran digital Islam.
Malah, katanya, tiga syarikat VC iaitu Captii Ventures, Ethis Ventures and Quest Ventures berminat untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan ekonomi digital Islam Malaysia.
“Rangka Kerja IDE akan membantu syarikat VC memastikan dana yang diraih adalah dari sumber berlandaskan Syariah, termasuk memastikan transaksi mereka dan pelaburan dana adalah berlandaskan Syariah,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai maksud ekonomi digital Islam, Mohd Daud berkata, dari segi definisinya, ia bermaksud melakukan ekonomi digital mengikut piawaian Syariah tertentu dari segi perspektif pembiayaan dan pengeluaran produk serta merangkumi imbangan pendapatan syarikat.
Beliau berkata, dalam membangunkan rangka kerja itu, MDEC, JAKIM dan Hall Amanie juga bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi kerajaan lain.
Katanya, pembangunan ekonomi digital Islam yang kukuh akan mewujudkan keunikan dan kelebihan daya saing negara dan menawarkan peluang untuk menembusi ekonomi Islam global yang dijangka berkembang kepada AS$3 trilion menjelang 2021.