In The News

Bank Negara lantik ahli Penasihat Syariah

KUALA LUMPUR 3 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pe­lantikan ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa kelmarin.

Dalam satu kenyataan, BNM memberitahu, menurut peruntuk­an Seksyen [53], Akta Bank Negara Malaysia 2009, pelantikan ahli MPS ini telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ahli MPS yang dilantik bagi tempoh baharu tahun 2016-2019 ialah seperti berikut:-

1. Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

2. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

3. Pengerusi Eksekutif, Amanie Advisors, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar.

4. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk A. Aziz. A. Rahim.

5. Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin.

6. Profesor Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali.

7. Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Consultancy, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim.

8. Profesor Madya Pusat Pe­ng­a­jian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim.

9. Penyelidik Kanan ISRA, Dr. Shamsiah Mohamad.

10. Penyelidik ISRA, Burhanuddin Lukman.

Menurut Bank Negara, ahli MPS yang dilantik merupakan individu yang berkelayakan, cekap dan terkemuka dalam kalangan ulama syariah dan ahli undang-undang dan berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, undang-undang dan aplikasi syariah, khususnya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Sebagai badan berautoriti ter­tinggi dalam penentuan hukum syarak bagi kewangan Islam, MPS memainkan peranan penting untuk memastikan ketekalan resolusi syariah yang diaplikasikan dalam industri kewangan Islam.

Resolusi Syariah MPS merupakan sumber rujukan utama bagi institusi kewangan Islam dalam memastikan pematuhan Syariah dalam penstrukturan dan pelaksanaan produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta menggalakkan inovasi produk.

Selain itu, MPS juga merupakan badan rujukan bagi mahkamah dan penimbang tara dalam mengendalikan dan membuat keputusan bagi kes-kes yang berkaitan dengan kewangan Islam, kata Bank Negara. – BERNAMA

 

Source Article: http://www.utusan.com.my

 

"Your dream of today is essentially you
in the future."

Copyright 2019. Mohd Daud Bakar. All Rights Reserved.

Search